1 Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. - Al-Kahfi: 13 Belajar sambil mencabar Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar. - Prof. Ungku A. Aziz (1973) 2 KANDUNGAN Prakata 4 Pendahuluan 5 BAHAGIAN 1: GERAKAN MAHASISWA Tulisan tentang Gerakan Mahasiswa 7 Analisa ringkas Gerakan Mahasiswa 9 Gerakan Mahasiswa 1960-an hingga 1974 13 Gerakan Mahasiswa selepas 1974 19 AUKU 1975 23 Gerakan Mahasiswa IPTS 30 BAHAGIAN 2: GOVERNANS PEMBANGUNAN MAHASISWA 3 Langkah Transformasi Negara 31 AUKU 2009 32 Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008) 33 Kerangka Baru Gerakan Mahasiswa 34 Governans Baru pembangunan mahasiswa 40 100 Hari Pertama di KPT 47 Hala Tuju Baru HEP 48 Penutup 49 Bibliografi 50 Penulis 52 3 PRAKATA Sejak 1981, saya mempunyai pendirian dan pendapat sendiri yang amat saya yakini akan kebenarannya tentang universiti, budaya ilmu, kesepaduan dan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum, gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa. Saya bertekad untuk terus mempertahankan pendirian dan pendapat saya ini, malahan untuk mengembangkan dan memperkayakannya. Kerana itu, sempena genap 100 hari saya menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 19 Julai 2009, saya membentangkan pemikiran saya ini dalam bentuk e-book ini untuk dikongsi bersama oleh sesiapa sahaja yang sudi membacanya. Buku ini adalah luahan pemikiran dan perasaan dalaman saya tentang idealisme dan gerakan mahasiswa, apa yang saya lihat pada hari ini, iaitu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan apa yang saya perlu lakukan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ia saya paparkan seadanya dan dengan kesedaran bahawa saya mungkin juga tidak mampu melakukan segala-galanya. Buku ini tidaklah lengkap dan tentulah tidak sunyi daripada kelemahannya. Justeru, saya amat mengalu-alukan maklum balas tentangnya, termasuk kritik dan debat. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada anggota pasukan saya Nazri Noh, Khaidir Jamal, Shamsul Qamar Abd Rani, Halimatun Sa’adah Othman, Mohd Yusuf Mohd Saad, Ahmad Muhaimin bin Samsudin, Siti Fairuz binti Md Akhir, Nor Anis Aliza binti Khalid, Jassilan Nur bin Ja’afar Sidek, Mohd Khairul Sham bin Jamaluddin, Khalil Akashah Julaihi, Abu Hanipah Majid, Sahazuddin Abu Ruddin, Norhayati Muda, Norhaliza Abd Hamid, Ridzuan Hazimin Ramli, Ishak Mat Bakar, Suhaimi Tan, Au Tong Hai, A Shivalingam, Ahmad Othman dan Abdul Halim Ishak. Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberikan input dalam perbincangan-perbincangan tentang hala tuju baru pembangunan mahasiswa. Antaranya, Prof Dr. Rahim Md Sail, Mohd Khair Ngadiron, Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Dr Sarjit Singh, Loka Ng Sai Kai, Dr. Lee Yoke Fee, Khalek Awang, Saiful Amin Jalun, Muhaimad Haizuan Rozali, Mohd Suji Bilang Nordin dan ramai lagi. Tribut juga untuk Sdr Wan Ahmad, pelukis lukisan “Hafiz dan Merpati Putih” yang menghiasi kulit hadapan buku ini. Ucapan terima kasih paling istimewa tentulah saya tujukan buat sepasang mawar wangi dalam taman nyaman kehidupan saya, iaitu isteri tercinta, Norlin Shamsul Bahri dan anak tersayang, Nur Madihah, yang dengan penuh kefahaman memberikan segala sokongan dan dokongan kepada saya, termasuk memahami jiwa saya yang adakalanya seakan-akan memberontak apabila apa yang saya ingin laksanakan tak dapat dilaksanakan akibat karenah dan birokrasi yang punah dan basi yang diluar bidang kuasa saya. Saifuddin Abdullah Putrajaya 21 Julai 2009 4 PENDAHULUAN Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil perhitungan (a force to be reckoned with). Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri. Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik. Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang- kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara. Kemasukan mahasiswa baru IPTA bagi sesi 2009/2010 pada Jun/Julai 2009 menjanjikan sesuatu yang baru dalam gerakan mahasiswa negara. Ini kerana mereka adalah kumpulan pertama yang memasuki IPTA selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda dengan agak sempurna pada 2009. Manakala bagi IPTS pula, tahun ini, buat pertama kalinya, para pemimpin Student Representative Council (SRC) dari majoriti IPTS menganjurkan IPTS Student Leaders’ Summit. Di samping itu, lancarnya proses transformasi universiti tempatan melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diketuai Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin dan, terutamanya, segarnya gelombang 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, menuntut diadakan pemikiran baru bagi memperkasa dan menentukan hala tuju baru gerakan dan governans pembangunan mahasiswa negara. Saya berpendapat bahawa langkah memperkasa gerakan mahasiswa banyak bergantung kepada mahasiswa sendiri. Ini selaras dengan konsep dan pendekatan penghakupayaan mahasiswa (student empowerment). Pada masa yang sama, kerajaan dan universiti perlu memulakan pendekatan-pendekatan baru dalam governans pembangunan mahasiswa. Buku ini adalah catatan pengalaman dan pengamatan saya tentang gerakan dan governans pembangunan mahasiswa sejak tahun 1981 hingga sekarang. Partisipasi saya bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Presiden Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN), Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Setiausaha Agung dan kemudiannya Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Di peringkat antarabangsa, saya pernah menjadi Konsultan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP) dan Ahli Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pekerjaan 5 Untuk Belia. Kini, saya Pengerusi Akademi Belia, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Salam dan Penasihat Alumni Debat IPT (ADI). Di samping itu, saya pernah bertugas sebagai pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama sembilan tahun (1985-1994). Di sana, saya mengasaskan dan menjadi jurulatih pertama pasukan debat dan bola keranjangnya. Saya juga antara pengasas Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta Debat Di-Raja Antara Universiti dan adalah Ketua Hakim Bahasa Melayunya yang pertama. Sebelum di KPT, selaku Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), saya diamanahkan mengetuai program-program pembangunan keusahawan mahasiswa. Sebahagian besar kandungan buku ini pernah disiarkan sebelum ini dalam bentuk ucapan, kertas kerja, rencana, kolum dan bahagian buku, terutamanya buku keempat saya (2008), Politik Baru. Ia saya susun semula dengan ditambah dengan inisiatif-inisiatif awal saya sejak di KPT dan diterbitkan dalam bentuk e-book ini sempena genap 100 hari pertama saya di KPT. Matlamatnya ialah untuk berkongsi pengalaman dan perjuangan bagi memperkasa dan menentukan hala tuju baru gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa yang lebih kaya idealisme, aktivisme dan idealismenya, untuk mengembalikan atau mencipta kegemilangan baru gerakan mahasiswa nasional dan untuk membina pemikiran dan pelaksanaan pembangunan mahasiswa yang benar-benar bersepadu dan seimbang, yang benar-benar membangun dan menggilap potensi mahasiswa, demi agama, bangsa dan tanah air. Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama: Gerakan Mahasiswa, membuat analisa ringkas tentang gerakan mahasiswa, gerakan mahasiswa sebelum dan selepas 1974, AUKU 1975 dan gerakan mahasiswa IPTS. Bahagian kedua: Governans Pembangunan Mahasiswa, merakamkan langkah-langkah transformasi negara, AUKU 2009, Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008), kerangka baru gerakan mahasiswa, governans baru pembangunan mahasiswa, 100 Hari Pertama di KPT dan hala tuju baru HEP. Saya antara mereka yang sedang merapatkan hubungan mahasiswa IPTA dan IPTS. Seharusnya, kita tidak membeza-bezakan mereka, kecuali dari segi undang-undang tubuhnya sahaja. Kerana itu, saya menyokong inisiatif MADUM untuk melibatkan semua universiti (iaitu IPTA dan IPTS) dalam pertandingan-pertandingan debatnya, menggerakkan liga bola keranjang University College Basketball League (UCBL) yang melibatkan semua universiti dan mencadangkan agar ditubuhkan sebuah organisasi mahasiswa nasional yang menggabungkan IPTA dan IPTS. Justeru, dalam buku ini, seboleh-bolehnya saya mengelakkan daripada menggunakan “mahasiswa IPTA” atau “mahasiswa IPTS” dan hanya menggunakan “mahasiswa” sahaja. Di mana-mana yang saya terpaksa menggunakan istilah yang seolah-olah membeza-bezakan mereka, ia semata-mata kerana terpaksa dan bersifat sementara sahaja. 6 BAHAGIAN 1 GERAKAN MAHASISWA TULISAN TENTANG GERAKAN MAHASISWA Tidak banyak telah ditulis tentang gerakan mahasiswa. Kebanyakan buku tentang gerakan mahasiswa tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan dan bukannya oleh penulis Malaysia. Antaranya ialah Donald Rogan (1966) The Campus Apocalypse: The Student Search Today; Saymour Martin Lipset (Ed.) (1967) University Students and Politics In Underdeveloped Countries; Lewis S. Feuar (1969) The Conflict of Generation: The Character and Significant of Student Movements; Philip G. Altbach (Ed.) (1970) The Student Revolution: A Global Analysis; Helen Lefkowitz Horowitz (1987) Campus Life: Undergraduate Cultures from the end of the Eighteenth Century to the Present; dan, Mark Edelman Boren (2001) Student Resistance: A History of the Unruly Subject. Penulis-penulis tersebut sering dirujuk kerana membuat analisa yang bersifat agak universal, walaupun amat jarang menyentuh perkembangan gerakan mahasiswa di negara ini. Dalam hal ini, di samping bukunya di atas, Altbach pernah membentangkan kertas kerja bertajuk “Student Politics in the Third World” di Bengkel Pentadbiran Universiti yang diadakan di Universiti Malaya pada 1-2 Ogos 1983. Di Malaysia, menurut Ungku Aziz, buku yang mencerminkan kegiatan mahasiswa di lapangan politik tulisan Mohammed Abu Bakar (1973) Mahasiswa Menggugat, adalah bersifat peneroka. Kata Ungku Aziz, “Oleh itu wajib ia dibaca oleh semua orang yang ada hubungan dengan masalah pelajaran umumnya atau universiti khususnya dan pemuda- pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya”. Puisi Ungku Aziz yang memulakan buku ini diambil daripada Kata Pengantarnya bagi buku tersebut. Selepas karya Mohammed Abu Bakar, terbit buku-buku, misalnya, oleh Hassan Karim dan Siti Nor Hamid (Ed.) (1984), With the People!: The Malaysian Student Movement 1967-74, Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among Students, Junaidi Abu Bakar (1993), Mahasiswa, Politik dan Undang-undang dan Abdul Razaq Ahmad (Ed.) (2005), Mahasiswa Abad 21. Terdapat juga latihan-latihan ilmiah, misalnya, Noordin Abd. Razak (1972) tentang Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Ahmad Faiz (1979) tentang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Abdul Ghani Che Amat (1980) dan Anizah Abdullah (1994) tentang Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia dan Baharudin Ali Masrom (1988) tentang Mahasiswa Selepas Akta. Di samping itu, banyak seminar tentang dunia kemahasiswaan telah dianjurkan. Sebahagian daripada prosidingnya telah dibukukan. Antaranya ialah anjuran badan serantau seperti Asia Pacific Student Services Association (APSSA), Proceeding of the Third Asia Pacific Conference on Student Affairs (15-17 Jun 1992, Bali, Indonesia); anjuran Biro Tatanegara, USM dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Mahasiswa Pewaris Negara: Prosiding Kongres Mahasiswa 2003 (10-12 April 2003, USM); dan anjuran KPT, Prosiding Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009 (15-19 Mei 2009, UTHM). 7 Manakala di kampus-kampus, terdapat pelbagai majalah, surat khabar, risalah, laporan dan sebagainya. Media cetak sering menerbitkan rencana-rencana dan media elektronik pula menyiarkan rancangan-rancangan tentangnya. Mutakhir ini, terbit pula media baru seperti laman web dan blog mahasiswa. Oleh kerana gerakan mahasiswa tidak beroperasi dalam hampagas, maka rujukan mengenainya tidak seharusnya terbatas kepada bahan-bahan yang mengkhusus atau menjurus terhadap mahasiswa semata-mata. Kerana itu, rujukan perlu juga dibuat terhadap bahan- bahan yang membincangkan, misalnya, gerakan belia, gerakan masyarakat sivil, generasi- generasi “X”, “Y”, “net”, “next” dan “milenium”, partisipasi, penghakupayaan, politik baru, governans baru dan sebagainya. Di samping kekurangan bahan rujukan tentang gerakan mahasiswa, kita juga kekurangan tulisan tentang universiti, khususnya pengurusan universiti kita. Dalam hal ini, tidak salah jika kita mencontohi penghasilan tulisan di luar negara. Contohnya, Arthur W. Chickering, (1969), Education and Identity, Jon Nixon, (2008), Towards the Virtuous University dan Sarah J. Mann, (2008), Study, Power and the University. Contoh lain ialah bagaimana ramai Presiden atau bekas Presiden universiti di US menulis, seperti bekas Presiden George Washington University, Stephen Joel Trachtenberg, (2008), Big Man on Campus, atau bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok yang telah menulis tujuh buah buku tentang pendidikan universiti. Dalam konteks ini, antara Naib Canselor kita yang prolifik ialah Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abd Razak yang menulis tentang “University of the Future”, Prof. Dato’ Dr. Zaini Ujang yang menulis buku Mengangkasa Pengajian Tinggi, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah yang menulis buku Menyingkap Pengurusan Universiti, serta Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang sering menulis tentang hal ehwal universiti. Pokoknya, adalah diharapkan agar lebih banyak buku dan bahan-bahan media lain, termasuk media baru atau alternatif yang berasaskan IT, tentang gerakan mahasiswa di negara ini diterbitkan, termasuk yang berasaskan latihan-latihan ilmiah, dan jika dapat, sebahagiannya diterbitkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa antarabangsa yang lain agar ia bukan sahaja menambahkan bahan rujukan tempatan, tetapi juga turut menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Supaya sejarahnya dapat diberikan pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang benar-benar bijaksana. 8 ANALISA RINGKAS GERAKAN MAHASISWA Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar di Malaysia telah bermula pada tahun 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa orang tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Timur Tengah dan dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang telah memulakan gerakan keilmuan umat Islam ke arah pembangunan sosio-ekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal. Jika menggunakan istilah “pelajar” pula, ia ditandai oleh peranan tokoh-tokoh pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1930-an seperti Ibrahim Yaakub dan Hasan Manan yang telah menggerakkan kesedaran politik tanah air. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan tokoh-tokoh lain seperti Ishak Muhammad, bekas pelajar The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), dan Ahmad Boestamam untuk menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), iaitu parti politik Melayu yang terawal dan radikal. Pada tahun 1948, lahir Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara tokoh pengasasnya ialah Abdul Wahab Arief, Aminuddin Baki dan Siti Hasmah Mohd Ali. Ia memperjuangkan hak di bidang pendidikan dan menjalankan usaha-usaha meningkatkan pencapaian pelajar Melayu dalam bidang tersebut. Ia berperanan menanamkan kesedaran di kalangan pelajar Melayu dan terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan tanah air. Manakala, jika menggunakan istilah “mahasiswa”, tanda permulaannya tentunya merujuk kepada peranan mahasiswa Universiti Malaya (UM) di Singapura (ditubuhkan pada 1949), dan kemudiannya UM cawangan Kuala Lumpur (dirasmikan pada 14 September 1957), iaitu universiti yang pertama di negara ini. Pada tahun 1950-an, semasa di Singapura, sebahagian daripada mahasiswa UM mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan anti-kolonial, seperti wartawan dan kesatuan sekerja. Jadi, mahasiswa telah terlibat dalam gerakan kemerdekaan tanah air. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1958. Pengerusinya ialah Gurnam Singh, manakala Setiausaha Umumnya ialah V. Selvaratnam. Jumlah mahasiswa UM di Kuala Lumpur pada masa itu ialah lebih kurang 300 orang. Sehingga penubuhan beberapa buah universiti yang lain, iaitu Institut (kini Universiti) Teknologi MARA (ITM, kini UiTM) pada 1967, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1969, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 dan Universiti Pertanian (kini Putra) Malaysia (UPM) pada 1971, dan masing-masing dengan Persatuan Mahasiswanya, PMUM adalah satu-satunya gerakan mahasiswa yang wujud untuk lebih kurang sedekad lamanya. Kerana itu, dengan kelebihan pengalaman dan tradisinya, maka adalah tidak menghairankan jika PMUM dilihat mengetuai gerakan mahasiswa dalam beberapa peristiwa dari pertengahan 1960-an hingga 1974, yang dianggap sesetengah pihak sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa di negara ini. Di samping PMUM, antara persatuan mahasiswa yang awal ditubuhkan dan kemudiannya menjadi persatuan yang amat dominan, dan adakalanya bersaing dengan lain, 9 bahkan jika di UM ia menyaingi PMUM, ialah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Ia telah ditubuhkan semasa UM di Singapura, iaitu pada tahun 1955. Ini adalah di samping beberapa persatuan lain yang telah ditubuhkan lebih awal seperti Persatuan Ekonomi dan Persatuan Sejarah. PBMUM lahir akibat tiga faktor. Pertama, sebagai persatuan mahasiswa Melayu yang mempunyai minat yang sama, iaitu di Jabatan Pengajian Melayu. Kedua, ekoran cabaran menjawab tuduhan kepada mahasiswa yang ketika itu pernah dikatakan sebagai anak-anak penjajah. Dan ketiga, didorong oleh pergolakan politik orang Melayu pada masa itu, seperti penubuhan UMNO pada tahun 1946, penubuhan ASAS 50 pada Ogos 1950, penubuhan Lembaga Bahasa Melayu (LBM) pada Oktober 1950, dan, lebih-lebih lagi, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua pada 1954 yang mendesak pemerintah Inggeris menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada tahun-tahun awal UM di Kuala Lumpur, kebanyakan aktiviti kemahasiswaan terfokus kepada kehidupan di kampus, terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa. Bagaimanapun, bibit-bibit gerakan mahasiswa yang diungkapkan sebagai “tradisi mencabar” itu telah mulai kelihatan. Ini ditandai, misalnya, dengan perjuangan PMUM mendapatkan rawatan perubatan yang lebih baik untuk mahasiswa dan desakan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) supaya kerajaan membina sebuah masjid berhampiran dengan UM. Beberapa protes terbuka telah berlaku sejak tahun 1961, di mana mahasiswa menghantar telegram kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bagi mendapatkan semula kelulusan mengadakan perarakan dalam Minggu Kebajikan yang telah dilarang oleh polis. Pada tahun 1963, berlaku lagi beberapa protes. Pertama, mahasiswa memprotes apabila Naib Canselor Sir Alexander Oppenheim “campur tangan” dalam satu mesyuarat antara freshie dan jawatankuasa orientasi. Kedua, mahasiswa mendesak Majlis Universiti agar menerima perwakilan mereka untuk duduk dalam pentadbiran universiti. Ketiga, PMUM membuat protes kepada kerajaan Singapura atas perletakan jawatan Naib Canselor Universiti Singapura Dr. B.K. Sreenivasam kerana padanya ia berlaku akibat campur tangan dari luar (kerajaan). Dan keempat, dan terpenting, PMUM mengadakan perarakan bagi menyatakan taat setia kepada kerajaan dalam konfrontasi yang dilancarkan Indonesia ke atas Malaysia. Ini telah diikuti kemudiannya dengan tunjuk perasaan pada tahun 1964, apabila 1,000 orang mahasiswa tampil menuntut agar dimaafkan 5 orang sahabat mereka yang hendak dipecat universiti kerana menjalankan ragging. Protes-protes lain yang diadakan mahasiswa ialah menentang tindakan kerajaan memperkenalkan Sijil Kelayakan dan demonstrasi menentang lawatan Duke of Edinburgh. Dalam masa yang sama, pada tahun 1958, telah ditubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia (PKPM) yang menggabungkan pelajar-pelajar pelbagai kaum. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan pelajar dan memperbaiki kebajikan mereka dengan tanpa mengira jantina, bangsa, agama serta kedudukan sosial dan ekonomi. Ini diikuti dengan penubuhan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Asrama Kedua UM pada tahun 1961. PKPIM menggabungkan mahasiswa dan pelajar Islam. Tujuan asalnya ialah untuk menggabungkan semua persatuan pelajar Islam 10
Description: